Bekas Ngap Sayot nyata hebat


LEGENDA: Bekas jurulatih Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad (tengah) bersama bekas pemain-pemainnya di Kuching.

KUCHING: Skuad bekas pemain Ngap Sayot (Sarawak) ternyata masih hebat apabila mudah menumpaskan pasukan Pilihan Axis 3-1 dalam perlawanan persahabatan sempena aksi separuh akhir kedua Sarawak-Pahang di Padang D, Petra Jaya Kuching kelmarin.

Bintang handalan, Razak Ismail muncul wira skuad Ngap Sayot dengan menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Ramos Sari.

Gol tunggal pasukan Pilihan Axis dijaringkan oleh Iswandi Ali Hassan.

Kelibat pemain-pemain Ngap Sayot masih bertenaga begitu membangkit semula zaman kegemilangan mereka pada suatu masa dahulu.

Bekas perancang Sarawak, Ibrahim Mantali antara yang mencuri tumpuan dengan melakukan beberapa hantaran berbahaya yang mengelirukan.

Pemain kembar, Ramos dan Ramles Sari juga menunjukkan kombinasi mantap dengan Razak Ismail.

Empat pemain tersebut menjadi kunci utama skuad Ngap Sayot yang turun tanpa Mohd Ali Sapiee dan Burhaniza Abu Bakar atas urusan kerja.

Turut membarisi skuad Ngap Sayot ialah Daud Hamid, Khairol Jamel, Zaidel Sakup, Louis Jakai, Bobby Pian, Aedi Julaihi, Rosli Akup, Shahrizan Sahari, Abang Zafari dan Firdaus Ishak (penjaga gol) .

Skuad Pilihan Axis diperkuatkan oleh beberapa bekas pemain Sarawak seperti Safri Amit, Ideris Untong, Nizam Mahmud, Fairunizam Junaidi dan pemain ternama tempatan, Juajiman Wagino.

Advertisements